PeribahasaMelayu Kuiz

Peribahasa Bermula dengan Huruf E

Senarai 23 peribahasa Melayu bermula dengan huruf E, lengkap dengan maksud.

  1. Ekor anjing, berapa pun dilurut akan dia, tiada juga betul

    Orang yang bertabiat buruk itu walau bagaimanapun diperbaik akan tetap jahat juga.

  2. Elok bahasa kan bekal hidup, elok budi kan bekal mati

    Orang yang baik bahasanya akan menjadi kesayangan orang sewaktu hidup dan akan sentiasa dikenang sesudah mati.

  3. Elok berarak di hari panas

    Orang akan berasa sukacita dan beruntung kalau maksud tercapai.

  4. Elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat Pepatah

    Apa yang hendak dikerjakan baik dibicarakan dulu dengan kaum keluarga dan sebagainya supaya pekerjaan itu selamat.

  5. Elok lenggang di tempat datar

    Bersuka-sukaan biarlah kena pada tempat dan masanya.

  6. Elok palut, pengebat kurang

    Tampaknya bagus tetapi keadaan sebenarnya belum begitu baik.

  7. Emas berpeti, kerbau berkandang

    Harta-benda harus disimpan baik-baik di tempatnya masing-masing supaya selamat.

  8. Emas disangka loyang

    Oleh sebab miskin dan melarat, orang menyangkanya jahat.

  9. Embacang buruk kulit

    Nampak buruk tetapi sebenarnya baik.

  10. Embun di hujung rumput Perumpamaan

    Keadaan yang tidak tetap dan tidak kekal lama.

  11. Empang sampai ke seberang, dinding sampai ke langit

    Perselisihan yang tidak dapat didamaikan lagi; aturan yang tidak dapat diubah.

  12. Empat gasal, lima genap, dikendur berdenting-denting, ditegang berjela-jela

    Tutur kata orang yang bijaksana itu selalu tersembunyi maksud yang tersirat.

  13. Empat sudah bersimpul satu

    Kesempurnaan yang diperoleh daripada empat orang, iaitu yang berilmu, berakal, mahir, dan rajin.

  14. Enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diperkatakan

    Nasihat yang baik perlu diulang menyebutnya.

  15. Enau mencari sigai

    Perempuan mencari lelaki.

  16. Enau sebatang dua sigainya

    Seorang perempuan menduakan suaminya; suatu pekerjaan yang dikepalai oleh dua orang.

  17. Enggan berdayung hanyut serantau

    Jika tidak tahu dan malas berusaha, celaka akan menimpa sekaum.

  18. Enggan seribu daya, mahu sepatah kata Pepatah

    Kalau tak suka biasanya banyak alasannya.

  19. Enggang apa kepada enggang, orang apa kepada orang

    Senang dan susah kita, kita yang merasakannya, susah dan senang orang, orang itulah yang merasai atau masing-masing menjaga hal sendiri.

  20. Enggang lalu aral jatuh, anak raja mati ditimpanya

    Menerima akibat kerana kebetulan berada di tempat kejadian itu.

  21. Enggang lalu ranting patah Pepatah

    Orang jahat akan selalu dituduh apabila berlaku sesuatu musibah.

  22. Engkap bagai rumput di tengah jalan

    Hidup merana kerana terlalu miskin atau sakit yang bersangatan.

  23. Engkau belum mencapai kayuh, aku sudah sampai ke seberang

    Orang yang bijaksana akan segera mengetahui maksud atau tujuan sesuatu itu hanya daripada cakap dan gerak-geri seseorang.