×
Pantun Melayu
Utama Peribahasa Melayu Simpulan Bahasa Perumpamaan Bidalan Pepatah Peribahasa Setara Mutiara Kata Pantun Melayu Buku Peribahasa

Koleksi Pantun Melayu Gurindam Jiwa ✔

Pantun digunakan dalam menyampaikan mesej penting yang terkandung juga unsur nasihat kepada masyarakat.
Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa,
Tegak bangsa kerana budi,
Runtuh budi hilanglah bangsa.
Hendak gugur gugurlah nangka,
Jangan ditimpa si ranting pauh,
Hendak tidur tidurlah mata,
Jangan dikenang orang yang jauh.
Kalau mengail di lubuk dangkal,
Dapat ikan penuh seraga;
Kalau kail panjang sejengkal,
Jangan lautan hendak diduga.
Bunga Tanjung kembang semalam,
Pohon tinggi tidak berduri,
Gelombang besar di laut dalam,
Kerana Tuan saya kemari.
Untuk apa membawa sayur,
Kalau ikan banyak dibeli,
Untuk apa hamba menegur,
Kalau tuan tidak peduli.
Bunga melati terapung-apung,
Bunga rampai di dalam puan,
Rindu hati tidak tertanggung,
Bilakah dapat berjumpa tuan.
Limau purut lebat di pangkal,
Batang mengkudu condong uratnya,
Hujan ribut dapat ditangkal,
Hati yang rindu apa ubatnya.
Burung serindit terbang melayang,
Singgah hinggap di ranting mati,
Duit ringgit dipandang orang,
Terang dipandang bahasa dan budi.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sucinya,
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tidak dengan budinya.
Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.
Ke gunung emas pasir baiduri,
Ke padang zamrud habis diedari,
Terbang bangau sepanjang hari,
Ke tasik juga akhirnya dicari.
Apa guna melompat pagar,
Bila kaki awak tersangkut,
Apa guna bercakap besar,
Bila janji tidak diikut.
Bakul penuh berisi limau,
Sangat berat tak boleh dijinjing,
Biar mati ditangkap harimau,
Jangan mati digigit anjing.
Jentayu burung jentayu,
Hinggap dibalik pokok mayang,
Bunga kembang akan layu,
Budi baik bilakan hilang?
Pohon terung dililit akar,
Batang kapas tenggeran burung,
Ibarat burung di dalam sangkar,
Mata lepas badan terkurung.
Kusangka nanas di tengah padang,
Rupanya pandan yang berduri,
Kusangka panas hingga ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari.
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rinduan-rinduan.
Buah mangga tidak berulas,
Buat lempuk buah durian,
Cinta hamba tidak berbalas,
Ibarat bertepuk sebelah tangan.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Pohon senduduk dahan berpintal,
Patah ditimpa dahan berangan,
Kusangka mengantuk disorongkan bantal,
Rupanya tidur berbantal lengan.
Rumah kecil tiang seribu,
Rumah besar tiang sebatang,
Kecil-kecil ditimang ibu,
Sudah besar ditimang gelombang.
Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
Padi ini semumba-mumba,
Daun kurma daun cempedak,
Macam mana hati tak hiba,
Entah bertemu entah tidak.
Payah kami menabur padi,
Nenas juga ditanam orang,
Payah kami menabur budi,
Apakah sebenarnya dipandang orang?
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita bersama mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.
Kain batik negeri seberang,
Dipakai anak Tanah Melayu,
Apa ertinya kasih dan sayang,
Kalaulah abang berjanji palsu.
Alang-alang menjeruk asam,
Biar lebih, kurang jangan,
Alang-alang menyeluk pekasam,
Biar sampai ke pangkal lengan.
Anak cina pasang lukah,
Lukah dipasang di Tanjung Jati,
Di dalam hati tidak ku lupa,
Sebagai rambut bersimpul mati.
Tikar jerami hampar di laman,
Mengulas dulang berisi emping,
Bunga kami mekar di taman,
Menanti orang datang menyunting.
Tinggi-tinggi si matahari,
Anak kerbau mati tertambat,
Sudah puas hamba mencari,
Baru sekarang hamba mendapat.
Sampan kotak hilir mudik,
Dayung patah galah sebatang,
Ikhtiar tidak datang menggolek,
Akal tidak datang melayang.
Baik-baik mengirai padi,
Takut mercik ke muka orang,
Baik-baik menjaga diri,
Takut nanti diejek orang.
Pohon mengkudu tumbuhnya rapat,
Rapat lagi pohon jati,
Kawan beribu mudah didapat,
Sahabat setia payah dicari.
Anak dara menumbuk pandan,
Membuat kuih hidangan kenduri,
Ilmu yang baik jadikan teladan,
Segala yang buruk letak ke tepi.
Kalau padi katakan padi,
Tidak hamba tertampi-tampi,
Kalau jadi katakan jadi,
Tidak hamba ternanti-nanti.
Gesek rebab petik kecapi,
Burung tempua membuat sarang,
Apa sebab jadi begini,
Karam berdua basah seorang?
Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi jujungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.
Kalau ada jarum patah,
Jangan simpan di dalam hati,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan simpan di dalam hati.
Biarlah orang bertanam buluh,
Mari kita bertanam padi,
Biarlah orang bertanam musuh,
Bilakah kita bertanam budi?
Disana pauh di sini pun pauh,
Daun mengkudu ditandungkan,
Adinda jauh kekanda jauh,
Kalau rindu sama tanggungkan.
Buah kuini jatuh tercampak,
Jatuh menimpa bunga selasih,
Biar bertahun dilambung ombak,
Tidak ku lupa pada yang kasih.
Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu,
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa tahu?
Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman,
Hendak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.
Pokok terap tumbuh di bukit,
Belat berbanjar panjang ke hulu,
Jangan diharap guruh di langit,
Kilat memancar hujan tak lalu.
Mengapa lalang menjadi subur,
Kerana dah lama orang tak lalu,
Mengapa orang menjadi takbur,
Kerana dadanya kurang berilmu.
Gulai umbut pucuk paku,
Nasi terletak di muka pintu,
Lemah lembut puteri Melayu,
Bijak memasak menjahit baju.
Burung merak terbang ke laut,
Sampai ke laut mengangkut sarang,
Sedangkan bah kapal tak hanyut,
Inikan pula kemarau panjang.
Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi,
Hari mana bulan mana,
Dapat kita berjumpa lagi.
Tudung periuk pandai menari,
Menari lagu putera mahkota,
Kain yang buruk berikan kami,
Buat menyapu si air mata.
Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Dua tiga boleh ku cari,
Mana nak sama cik adik seorang.
Anak beruk di tepi pantai,
Pandai melompat pandai berlari,
Biar buruk kain dipakai,
Asal hidup pandai berbudi.
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Rindu kini tiada penghujung.
Anak buaya terenang-renang,
Anak kunci dalam perahu,
Hanya saya terkenang-kenang,
Orang benci saya tak tahu.
Putik pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Tuan jauh di negri satu,
Hilang di mata di hati jangan.
Bila berselisih buat tak cakna,
Sungguhpun sudah bertentang mata,
Benarlah sungguh pujangga Cina,
Jika tak kenal maka tak cinta.
Orang pekan pergi berakit,
Sampai di laut mengail ikan,
Jangan harapkan guruh di langit,
Air di tempayan dicurahkan.
Buah jambu disangka kandis,
Kandis ada di dalam cawan,
Gula madu disangka manis,
Manis lagi senyuman tuan.
Rosak tiang kerana condong,
Tiang condong cepat robohnya,
Rosak orang kerana sombong,
Orang sombong cepat jatuhnya.
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung daik becabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua.
Puas saya bertanam ubi,
Nanas jugak dipandang orang,
Puas saya menabur budi,
Emas juga dipandang orang.
Kalau pinang masih muda,
Rasanya kelat sudahlah pasti,
Kalau hilang kasih lama,
Cari lain untuk ganti.
Permata jatuh ke rumput,
Jatuh ke rumput berbilang-bilang,
Dari mata tidakkan luput,
Dalam hati tidakkan hilang.
Burung pipit burung kedidi,
Hinggap di pokok di tepi sawah,
Jika hidup tidak berbudi,
Ibarat pokok tidak berbuah.
Kalau runtuh Kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Jiwa dan raga saya serahkan.
Apa guna pasang pelita,
Jika tidak dengan sumbunya,
Apa guna bermain kata,
Kalau tidak dengan sungguhnya.
Air dalam bertambah dalam,
Hujan di hulu belumlah teduh,
Hati dendam bertambah dendam,
Dendam dahulu belumlah sembuh.
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Hilang emak hilang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
Lancang kuning lancang pusaka,
Nampak dari Tanjung Puan,
Kalau kering laut Melaka,
Barulah saya lupakan tuan.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak berbaju kasa,
Apa guna memandang cantik,
Kalau tidak berbudi bahasa.
Tanam pinang rapat-rapat,
Biar senang puyuh berlari;
Kupinang-pinang tetapi tak dapat,
Kupujuk-pujuk kubawa lari.
Kalau menyanyi perlahan-lahan,
Dibawa angin terdengar jauh,
Rindu di hati tidak tertahan,
Di dalam air badan berpeluh.
Apabila meniup abu di dapur,
Hati-hati terkena mata,
Apabila hidup tahu bersyukur,
Berbagai rezeki hatinya rela.
Asam kandis mari dihiris,
Manis sekali rasa isinya,
Dilihat manis dipandang manis,
Lebih manis hati budinya.
Dari Jawa ke Bengkahulu,
Membeli keris di Inderagiri,
Kawan ketawa ramai selalu,
Kawan menangis seorang diri.
Asal kapas menjadi benang,
Dari benang dibuat kain,
Barang lepas usah dikenang,
Sudah menjadi hak yang lain.
Hinggap merpati di dahan senduduk,
Gunung pinang ditiup badai,
Jangan seperti malang Pak Kaduk,
Ayam menang kampung tergadai.
Pergi memikat burung serindit,
Singgah di Lenga membeli lokan,
Membawa hajat setinggi langit,
Merisik bunga mekar di taman.
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Apa diharap padi seberang,
Entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap kasihnya orang,
Entahkan sudi entahkan tidak.
Anak Agam jual sutera,
Jual di Rengat tengah pekan,
Jangan digenggam bagai bara,
Terasa hangat dilepaskan.
Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi telaga,
Nama yang baik jadi ingatan,
Seribu tahun terkenang juga.
Kait-berkait akar beringin,
Di situlah banyak ular melata,
Nak ku pesan pada angin,
Sayangnya angin tak tahu berkata.
Bunga melur kembang sekaki,
Mari dibungkus dengan kertas,
Di dalam telur lagi dinanti,
Inikan pula sudah menetas.
Pulau Tinggi terendak Cina,
Nampak dari Pulau Sibu,
Abang pergi janganlah lama,
Tidak kuasa menanggung rindu.
Dari teluk pergi pangkalan,
Bermain di bawah pohon kepayang,
Saya umpama habuk di papan,
Ditiup angin terbang melayang.
Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun,
Budi tuan saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.
Anak ayam turun enam,
Mati satu tinggal lima,
Minta doa tetapkan iman,
Minta mati dalam agama.
Patah jarum dalam peti,
Buat menjahit kain bertimbun,
Nasihat sepatah kurang dimengerti,
Rupanya penawar beribu tahun.
Kalau meniup seruling bambu,
Siapa yang ikut akan terbuai,
Kalau hidup saling membantu,
Mana yang kusut akan selesai.
Limau purut di luar pagar,
Rimbun putik dengan bunganya,
Hujan ribut padang terbakar,
Embun setitik padam apinya.
Macam mana bunga tak layu,
Kerana sudah disengat kumbang,
Macam mana kapal nak lalu,
Kuala sudah dilingkung karang.
Anak ayam disambar helang,
Dari enam tinggallah lima,
Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan nama.
Tinggi-tinggi pohon jati,
Tempat bermain simanja sayang,
Sungguh tinggi harga budi,
Budi dibalas kasih dan sayang.
Orang musafir melihat bulan,
Bulan terlindung di balik awan,
Kalau sesat di hujung jalan,
Sedia balik ke pangkal jalan.
Apabila padi tidak ditampi,
Manakan tahu beras dan hampa,
Apabila janji tidak ditepati,
Banyaklah seteru nahas pun tiba.
Anak dara berkain cukin,
Dari Daik bulan puasa,
Tidak kira kaya miskin,
Asalkan baik budi bahasa.
Baik-baik memasang taji,
Salah ikat tak kena lawan,
Baik-baik abang berjanji,
Bila khianat merosak badan.
Apa diharap pada jerami,
Habis padi jerami dibuang,
Apa diharap kepada kami,
Muka buruk budi kurang.
Anak ayam di atas pagar,
Turun ke tanah makan padi,
Kalau hutang wajib dibayar,
Kalau janji wajib ditepati.
Summer Coffee Cup
Summer Coffee Cup