Koleksi Pantun Melayu Tentang Ilmu
Pantun digunakan untuk menyampaikan mesej penting dengan indah, sering mengandungi nasihat kepada masyarakat.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Sampan kotak hilir mudik,
Dayung patah galah sebatang,
Ikhtiar tidak datang menggolek,
Akal tidak datang melayang.
Mengapa lalang menjadi subur,
Kerana dah lama orang tak lalu,
Mengapa orang menjadi takbur,
Kerana dadanya kurang berilmu.
Sorong papan tarik papan,
Buah keranji di dalam perahu,
Suruh makan saya makan,
Suruh mengaji saya tak tahu.
Anak dara menumbuk pandan,
Membuat kuih hidangan kenduri,
Ilmu yang baik jadikan teladan,
Segala yang buruk letak ke tepi.