PeribahasaMelayu Kuiz

Koleksi Pantun Melayu Tentang Kasih

Pantun digunakan untuk menyampaikan mesej penting dengan indah, sering mengandungi nasihat kepada masyarakat.

Semua Budi Kasih Peribahasa Rindu Nasihat Ilmu Janji Kenangan Sahabat Pemimpin
Buah mangga tidak berulas,
Buat lempuk buah durian,
Cinta hamba tidak berbalas,
Ibarat bertepuk sebelah tangan.
Anak cina pasang lukah,
Lukah dipasang di Tanjung Jati,
Di dalam hati tidak ku lupa,
Sebagai rambut bersimpul mati.
— Gurindam Jiwa
Apa guna pasang pelita,
Jika tidak dengan sumbunya,
Apa guna bermain kata,
Kalau tidak dengan sungguhnya.
Buah kuini jatuh tercampak,
Jatuh menimpa bunga selasih,
Biar bertahun dilambung ombak,
Tidak ku lupa pada yang kasih.
Buah jambu disangka kandis,
Kandis ada di dalam cawan,
Gula madu disangka manis,
Manis lagi senyuman tuan.
Dari Arab turun ke Aceh,
Naik ke Jawa berkebun serai,
Apa diharap pada yang kasih,
Badan dan nyawa lagi bercerai.
Tanam pinang rapat-rapat,
Biar senang puyuh berlari;
Kupinang-pinang tetapi tak dapat,
Kupujuk-pujuk kubawa lari.
Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi jujungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.
Bunga Tanjung kembang semalam,
Pohon tinggi tidak berduri,
Gelombang besar di laut dalam,
Kerana Tuan saya kemari.
Tinggi-tinggi pohon jati,
Tempat bermain simanja sayang,
Sungguh tinggi harga budi,
Budi dibalas kasih dan sayang.
Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman,
Hendak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.
Pantai Cendering pasirnya putih,
Anak dagang berulang mandi,
Apa disesal orang tak kasih,
Sudah suratan diri sendiri.
Kain batik negeri seberang,
Dipakai anak Tanah Melayu,
Apa ertinya kasih dan sayang,
Kalaulah abang berjanji palsu.
Kalau roboh kota Melaka,
Sayang selasih di dalam puan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Rasa nak mati di pangkuan tuan.
Apa diharap padi seberang,
Entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap kasihnya orang,
Entahkan sudi entahkan tidak.
Anak buaya terenang-renang,
Anak kunci dalam perahu,
Hanya saya terkenang-kenang,
Orang benci saya tak tahu.
Kalau padi katakan padi,
Tidak hamba tertampi-tampi,
Kalau jadi katakan jadi,
Tidak hamba ternanti-nanti.
Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Dua tiga boleh ku cari,
Mana nak sama cik adik seorang.
Tinggi-tinggi si matahari,
Anak kerbau mati tertambat,
Sudah puas hamba mencari,
Baru sekarang hamba mendapat.
Dari mana punai melayang,
Dari permatang turun ke perigi,
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.
Jika tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja,
Jika tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Hilang emak hilang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
Bila berselisih buat tak cakna,
Sungguhpun sudah bertentang mata,
Benarlah sungguh pujangga Cina,
Jika tak kenal maka tak cinta.
Kalau runtuh Kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Jiwa dan raga saya serahkan.
Kalau pinang masih muda,
Rasanya kelat sudahlah pasti,
Kalau hilang kasih lama,
Cari lain untuk ganti.
Baik-baik memasang taji,
Salah ikat tak kena lawan,
Baik-baik abang berjanji,
Bila khianat merosak badan.
— Khazanah Pantun Melayu Riau
Pergi memikat burung serindit,
Singgah di Lenga membeli lokan,
Membawa hajat setinggi langit,
Merisik bunga mekar di taman.
Tikar jerami hampar di laman,
Mengulas dulang berisi emping,
Bunga kami mekar di taman,
Menanti orang datang menyunting.
Suka bahasa Melayu? Cuba Kuiz Peribahasa – 10 soalan →