PeribahasaMelayu Kuiz

Pepatah Melayu dengan Maksud

Kata-kata pusaka berangkap pendek yang mengandungi kebenaran dan pengajaran hidup.

  1. Ada aku dipandang hadap, tiada aku dipandang belakang

    Kasih sayang hanya waktu berhadapan saja, setelah berjauhan lalu dilupakan.

  2. Air beriak tanda tak dalam

    Banyak bercakap tanda tiada berilmu.

  3. Air cucuran atap jatuhnya ke pelimbahan juga

    Anak menurut baka bapanya; sesuatu itu menurut asalnya.

  4. Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam

    Sangat sedih sehingga menjejaskan keenakan makan dan minum.

  5. Air pun ada pasang surutnya, takkan pasang selalu dan surut senantiasa

    Nasib manusia tidak dapat ditentukan.

  6. Air sama air menjadi satu, sampah ke tepi juga

    Jangan ikut campur dalam perselisihan orang bersaudara, apabila mereka berbaik kembali, kita akan tersisih ke tepi.

  7. Air setitik dilautkan, tanah seketul digunungkan

    Membesar-besarkan perkara yang kecil.

  8. Air tawar secawan dituangkan ke dalam laut, takkan dapat menghilangkan masinnya

    Pertolongan yang sedikit tidak dapat meringankan beban kesengsaraan yang besar.

  9. Air yang tenang, jangan disangka tiada berbuaya

    Orang yang diam jangan disangka pengecut

  10. Akal tak sekali datang, runding tak sekali tiba

    Segala sesuatu tidak selesai sekali gus melainkan beransur-ansur.

  11. Akal yang sihat itu ada pada badan yang cergas

    Orang yang sihat tubuh badan memiliki fikiran yang baik atau idea yang bernas.

  12. Akan memikul tiada berbahu, akan menjunjung kepala luncung

    Tiada berdaya mengerjakan sesuatu pekerjaan, kerana tiada berilmu atau tidak berwang.

  13. Alah bisa kerana biasa

    Walaupun sesuatu itu sukar, sekiranya sentiasa dilakukan, sudah pasti akan menjadi biasa dan senang.

  14. Alang-alang berdakwat, biarlah hitam

    Membuat sesuatu perkerjaan itu biarlah hingga selesai.

  15. Alang-alang berminyak, biar licin

    Kalau mengerjakan sesuatu janganlah sekerat jalan.

  16. Alang-alang mandi, biar basah

    Membuat sesuatu perkerjaan itu biarlah hingga selesai.

  17. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan

    Kalau sudah melakukan sesuatu, biarlah pekerjaan itu diselesaikan.

  18. Anak di rumah kelaparan, kera di hutan disusukan

    Urusan sendiri ditinggalkan kerana mementingkan urusan orang lain.

  19. Anak sungai lagi berubah, inikan pula hati orang

    Pendirian yang tidak tetap.

  20. Angin tak dapat ditangkap, asap tak dapat digenggam

    Berita-berita yang buruk tak dapat disembunyikan, kelak akan tersiar juga.

  21. Antah berkumpul sama antah, beras bersama beras

    Setiap orang lazimnya mencari orang yang sepadan atau setaraf dengannya

  22. Api itu, tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan

    Kejahatan yang sedikit itu hendaklah lekas diperbaiki supaya jangan sampai melarat.

  23. Asal selamat ke seberang, biar bergantung di ekor buaya

    Sangat perlu akan pertolongan, betapa pun jua pertolongan itu akan diterimanya.

  24. Asam di darat ikan di laut, bertemu dalam belanga juga

    Perempuan dan lelaki, kalau sudah jodoh, bertemu juga akhirnya.

  25. Ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan

    Sangat menderita kesusahan meskipun bergaji besar (beristerikan atau bersuamikan orang kaya); hidup miskin di negara yang kaya dan makmur.

  26. Ayam ditambat disambar elang, padi di tangan tumbuh lalang

    Malang sekali; nasib yang buruk.

  27. Bagaimana acuan begitulah kuihnya

    Anak menurut baka bapanya; sesuatu itu menurut asalnya.

  28. Bagaimana contoh begitulah gubahannya

    Sesuatu itu menurut asalnya.

  29. Bagaimana rupa begitulah bayangnya

    Anak menurut baka bapanya; sesuatu itu menurut asalnya.

  30. Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam

    Manusia mempunyai sikap yang berbeza antara satu sama lain.

  31. Belayar sambil memapan, merapat sambil belayar

    Sesekali melakukan perkerjaan dua tiga maksud tercapai.

  32. Belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang

    Orang yang arif dan rajin.

  33. Beralih kain di balik rumah; beralih cakap di balik lidah

    Tidak menepati janji.

  34. Berapa berat mata memandang, berat juga bahu memikul

    Berapa susah kita melihat kesusahan orang lain, terlebih susah juga orang yang menderita kesusahan itu.

  35. Berketak ayam di darat, bersenyap-senyap mutiara di laut

    Orang bodoh suka menunjukkan kerja yang dibuatnya, tetapi orang yang bijaksana membuat kerja hanya dengan diam-diam saja.

  36. Berketak ayam, tahu akan bertelur atau tidak

    Orang yang bijaksana itu, apabila mendengar orang bercakap, tahu ia benar atau bohong, berilmu atau tidak.

  37. Berkokok di luar gelanggang, bila ke tengah menyusup di bawah kelengkang

    Bercakap besar di belakang tetapi bila berhadapan mengaku kalah.

  38. Berkuah sama menghirup, bersambal sama mencolek

    Persahabatan yang sangat karib.

  39. Bermata mata kayu, bertelinga telinga kuali

    Tiada menaruh perhatian kepada apa yang dilihat dan didengar.

  40. Berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap

    Membuat pekerjaan yang sia-sia.

  41. Bertanam tebu dipinggir bibir, rebung berduri di hati

    Berkata-kata manis di mulut tetapi di dalam hatinya jahat.

  42. Biduk lalu kiambang bertaut

    Orang yang bertelingkah (berkelahi) yang kemudiannya berbaik semula.

  43. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni

    Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

  44. Burung terbang dipipiskan lada

    Mengharapkan sesuatu yang belum tentu, barang yg tersedia dilepaskan.

  45. Calak ganti asah, menanti tukang belum datang

    Menggunakan apa yang ada sementara menunggu yang lebih baik lagi (dipakai untuk sementara waktu sahaja).

  46. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga

    Perselisihan sesama keluarga itu akhirnya akan berbaik kembali.

  47. Cermat masa banyak, jimat masa sedikit

    Selalu berhati-hati dalam membelanjakan (menggunakan) sesuatu.

  48. Cubit paha kanan, paha kiri pun merasa juga

    Jika seseorang itu menyusahkan kaum keluarganya sendiri maka ia pun akan merasa susah juga.

  49. Dalam laut boleh diduga, dalam hati siapa tahu

    Pengetahuan (fikiran) seseorang itu tidak dapat diduga.

  50. Daripada cempedak baiklah nangka, daripada tidak baiklah ada

    Sedikit pun cukuplah daripada tiada langsung.

  51. Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah

    Lebih baik mati daripada menanggung malu.

  52. Daripada hidup bergelumang tahi, baik mati bertimbun bunga

    Lebih baik mati daripada menanggung malu.

  53. Dengarkan cerita burung, anak dipangku dilepaskan

    Kerana mendengarkan manis tutur kata orang, pekerjaan sendiri disia-siakan.

  54. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

    Jika kita berhasrat kepada sesuatu, kita pasti akan beroleh cara untuk mendapatkannya

  55. Di mana api padam, di situlah puntung tercampak; di mana periuk pecah, di situlah tembikar tinggal

    Di mana mati di situlah dikuburkan.

  56. Di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh

    Di mana timbul perkara di situlah diselesaikan.

  57. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung

    Hendaklah menurut adat dan aturan tempat yang kita diami.

  58. Di mana bunga kembang, di situ kumbang banyak

    Di mana ada gadis, di situ ada anak-anak muda.

  59. Di mana kayu bengkok, di sanalah musang meniti

    Tempat yang tidak dijaga baik-baik, di situlah pencuri datang; siapa lengah akan mendapat bencana; orang yang bodoh mudah kena tipu.

  60. Diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat

    Pendiam tetapi berfikir atau banyak pengetahuan; bekerja dengan diam-diam.

  61. Diberi sejengkal hendak sehasta, diberi sehasta hendak sedepa

    Diberi sedikit, lalu hendak minta lebih banyak.

  62. Didengar ada, dipakai tidak

    Nasihat yang sia-sia.

  63. Digenggam takut mati, dilepaskan takut terbang

    Menghadapi sesuatu masalah yang sangat sulit; dalam keadaan yang serba salah.

  64. Dilambai tak nampak, diseru tak dengar

    Tiada mahu mendengar nasihat orang.

  65. Dipujuk dia menangis, ditendang dia tertawa

    Kelakuan yang tidak senonoh.

  66. Dipukul lutut sakit, direngkuh siku ngilu

    Berada dalam dilema untuk membuat pilihan kerana kedua-dua pilihan yang ada tetap akan mendatangkan masalah.

  67. Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari

    Disangka akan baik atau mulia selama-lamanya, tetapi tiba-tiba ditimpa bahaya, sehingga jatuh melarat.

  68. Ditelan mati emak, diluah mati bapa

    Menghadapi sesuatu masalah yang sangat sulit; dalam keadaan yang serba salah.

  69. Durian dengan mentimun, menggolek rosak, kena golek binasa

    Orang yang lemah itu tidak berdaya untuk melawan orang yang berkuasa, kerana baik, salah ataupun benar dia juga yang menanggung kerugian.

  70. Elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat

    Apa yang hendak dikerjakan baik dibicarakan dulu dengan kaum keluarga dan sebagainya supaya pekerjaan itu selamat.

  71. Enggan seribu daya, mahu sepatah kata

    Kalau tak suka biasanya banyak alasannya.

  72. Enggang lalu ranting patah

    Orang jahat akan selalu dituduh apabila berlaku sesuatu musibah.

  73. Gagak dimandikan tujuh kali sehari pun, takkan putih bulunya

    Orang jahat, biarpun diberi kesenangan, namun kalau mendapat kesempatan akan diulangnya juga perbuatan jahatnya itu.

  74. Gajah bergajah-gajah, pelanduk mati tersepit

    Kalau raja-raja berselisih, rakyat mendapat susah.

  75. Gajah berjuang sama gajah, palanduk mati di tengah-tengah

    Sekiranya orang-orang besar berselisih atau bergaduh, orang-orang di bawahnya yang akan mendapat kesusahan

  76. Gajah masuk kampung, kalau kayu tak tumbang, rumput layu juga

    Orang yang berkuasa dapat berbuat sekehendak hatinya dalam lingkungan orang lemah (orang kecil).

  77. Gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama

    Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.

  78. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati tersepit di tengah

    Orang kecil yang mencampuri pergaduhan antara orang besar-besar akhirnya ia sendiri yang binasa.

  79. Gar-gar, kata gelegar, rasuk juga yang menahannya

    Menyuruh orang melakukan sesuatu memang mudah, tetapi yang menanggung kesukarannya ialah orang yang mengerjakannya.

  80. Garam di laut, asam di gunung, dalam kuali bertemu juga

    Perempuan dan lelaki, kalau sudah jodoh, bertemu juga akhirnya.

  81. Genggam-genggam bara, terasa hangat dilepaskan

    Melakukan sesuatu pekerjaan dengan setengah-setengah hati, terasa sukar, lalu ditinggalkan.

  82. Genting menanti putus, biang menanti tembuk

    Suami isteri yang hampir bercerai; perkara yang hampir putus.

  83. Gigi dengan lidah ada kalanya bergigit juga

    Kerap kali juga timbul perselisihan antara suami isteri, sanak saudara dan sahabat handai.

  84. Gulai sedap nasi mentah, nasi sedap gulai mentah

    Perbuatan yang tidak sempurna.

  85. Harap hati nak peluk gunung, apakan daya tangan tak sampai

    Kehendak hati terlalu besar sehingga tiada upaya untuk mencapainya.

  86. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama

    Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.

  87. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah

    Pembahagian yang sama rata; banyak sama-sama banyak, sedikit sama-sama sedikit.

  88. Hati hendak semua jadi

    Jika ada kemahuan, semua dapat dikerjakan.

  89. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

    Jika ada kemahuan, tentu ada jalannya, tanpa kemahuan, berbagai alasan diberikan.

  90. Hujan panas permainan hari, senang susah permainan hidup

    Dalam hidup manusia ada kalanya senang dan ada kalanya susah.

  91. Hujan, tempat berteduh; panas, tempat berlindung

    Orang yang selalu memberi pertolongan kepada orang-orang yang mendapat kesusahan.

  92. Hukum berdiri dengan sakti, adat berdiri dengan tanda

    Undang-undang agama kuat dengan keterangan-keterangan lisan, undang-undang adat kuat dengan tanda-tanda bukti.

  93. Hutang biduk belum langsai, hutang pengayuh datang pula

    Hutang yang dulu belum dibayar, sudah berhutang lagi.

  94. Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati

    Hutang wang dapat dibayar tetapi sekiranya hutang budi akan sentiasa dikenang sampai ke akhir hayat.

  95. Hutang samir belum selesai, hutang kajang tumbuh pula

    Hutang yang dulu belum dibayar, sudah berhutang lagi.

  96. Ibarat burung, mata lepas badan terkurung

    Walaupun terpelihara baik tetapi tidak mempunyai kebebasan

  97. Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta

    Orang yang mengikutkan hawa nafsunya, tentu akan celaka akhirnya.

  98. Ingat-ingat yang di atas, yang di bawah akan menimpa

    Orang yang sedang berkuasa hendaklah berhati-hati menjalankan kewajipannya, jangan sampai menyusahkan orang-orang kecil, yang sewaktu-waktu mungkin akan menentang kerana kelakuannya yang tidak baik itu.

  99. Ingin hati memandang pulau, sampan ada pengayuh tidak

    Ingin hendak berbuat sesuatu pekerjaan, tetapi alatnya tidak cukup.

  100. Jangan ditentang matahari condong, takut terturut jalan tak berintis

    Hendaklah selalu ingat dan hati-hati, jangan terpedaya dengan sesuatu yang elok; jangan dicari kemarahan orang yang berkuasa.

  101. Jangan sampai sesat barat: sepuluh kali diukur, sekali dikerat

    Sesuatu pekerjaan (perkara) hendaklah diperiksa dulu buruk baiknya sebelum dikerjakan.

  102. Jauh berjalan banyak pemandangan, lama hidup banyak dirasa

    Orang yang banyak mengembara dan lama hidup itu tentu sekali banyak pengalamannya dan luas pandangannya.

  103. Jerat tidak lupakan balam, tetapi balam lupakan jerat

    Sudah lupa akan bahaya, tetapi sebenarnya bahaya masih tetap mengancam.

  104. Jerih menentang boleh, rugi menentang laba

    Suka menolong kerana ingin mendapat pertolongan pula; berani bersusah payah tentu akan mendapat keuntungan.

  105. Jika memelihara ayam, musang jangan dijinakkan

    Jika ada anak isteri terutama sekali anak gadis, janganlah dibiarkan orang lelaki yang jahat datang bertamu ke rumah.

  106. Jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai

    Berbuat sesuatu pekerjaan hendaklah dengan maksud dan tujuannya.

  107. Jika tidak dipecah ruyung, mana kan dapat sagunya

    Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah.

  108. Jikalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah

    Tentu ada sebabnya (ada sesuatu yang tersembunyi) maka terjadi sesuatu hal.

  109. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang

    Hidup yang sangat miskin dan rezeki hanya cukup untuk dimakan pada masa itu sahaja.

  110. Kalau baik buat tauladan, kalau tak baik buat sempadan

    Ambillah yang baik dan buangkan yang jahat.

  111. Kalau dipanggil dia menyahut, bila dilihat dia bersuara

    Jawab yang benar dan tepat.

  112. Kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari

    Murid yang mencontohi kelakuan gurunya terutama dalam hal yang tidak baik.

  113. Kalau kucing keluar tanduk, barulah ayam boleh bersusu

    Perkara yang mustahil.

  114. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai

    Kalau takut susah lebih baiklah jangan membuat sesuatu pekerjaan yang sukar-sukar.

  115. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang

    Kalau terjadi sesuatu hal tentu ada sebab-sebabnya.

  116. Kalau tiada emas sepiak, kerja di mana boleh jadi

    Orang yang miskin dan lemah tentulah tidak berdaya untuk memenuhi maksud hatinya.

  117. Kalau tiada rotan, akar pun berguna

    Sesuatu perkara yang dihajatkan sekiranya tidak dapat diperolehi memadai dengan apa yang ada.

  118. Karam di laut boleh ditimba, karam di hati bilakan sudah

    Kesedihan kerana kematian kekasih.

  119. Kasih bapa sepanjang jalan, kasih anak sepanjang penggalan

    Cinta kasih anak kepada bapa tidak seimbang dengan cinta kasih bapa kepada anak.

  120. Kata yang benar ditidakkan, rahmat Tuhan dilarikan

    Tidak mahu mengakui kebenaran.

  121. Kayu yang banyak akarnya, tak takutkan ribut

    Orang yang banyak kawan tidak takut akan susah.

  122. Ke bukit sama didaki, ke laut sama direnangi; adat tiada bertukar, rahsia tidak berubah

    Perhubungan yang sangat karib, tidak dapat diceraikan.

  123. Ke gunung emas pasir baiduri, ke padang zamrud habis diedari; terbang bangau sepanjang hari, ke tasik juga akhirnya dicari

    Bagaimana sekalipun jauh dagang merantau, ke negeri yang besar-besar, melihat tempat yang indah-indah, kesudahannya pulang juga ia ke tanahairnya sendiri.

  124. Ke mudik tentu hulunya, ke hilir tentu muaranya

    Sesuatu pekerjaan (perjalanan) haruslah ada ketentuannya.

  125. Kecil api menjadi kawan, besar ia menjadi lawan

    Kejahatan yang sedikit jangan dibiarkan menjadi besar.

  126. Kecil dikandung ibu, besar dikandung adat, mati dikandung tanah

    Orang hidup hendaklah pandai menyesuaikan diri dengan keadaan di sekelilingnya.

  127. Kecil-kecil lada api, besar-besar limau abung

    Biar kecil tetapi berani daripada besar tetapi penakut

  128. Khabar jauh dengar-dengarkan, khabar dekat fikir-fikirkan

    Tiap-tiap khabar yang diterima hendaklah diselidik dengan saksama supaya jangan tertipu.

  129. Kuat akar kerana tunjang, kuat tunjang kerana akar

    Kelebihan seseorang itu kerana suka muafakat satu sama lain.

  130. Kuat pohon kerana akar, kuat akar kerana tanah

    Kekuatan sebuah kerajaan kerana orang besar-besarnya, kekuatan orang besar-besar kerana rakyatnya yang bersatu padu.

  131. Kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa

    Orang yang melihat sesuatu masalah sukar untuk mengetahui kesusahan sebenar yang dihadapi oleh orang yang melaluinya.

  132. Kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tak nampak

    Kesalahan orang lain, biar pun kecil, tampak; tetapi kesalahan sendiri tidak disedari.

  133. Laba sama dibagi, rugi sama diterjuni

    Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

  134. Lain padang lain belalang, lain orang lain ragam

    Adat negeri selalu berlain-lainan.

  135. Lain sakit lain diubat, lain luka lain dibebat

    Jawab yang bersalahan dengan pertanyaan.

  136. Laki pulang kelaparan, dagang lalu ditanakkan

    Mengesampingkan urusan sendiri kerana mengutamakan urusan orang lain.

  137. Laut mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan

    Segala usaha tetap ada kesukaran atau bahayanya.

  138. Lebai berjanggut kambing pun berjanggut juga

    Pakaian dan rupanya boleh jadi sama tetapi kedudukannya lain-lain.

  139. Luka di tangan tampak berdarah, luka di hati siapa tahu

    Kesedihan atau kesusahan hanya seorang sajalah yang dapat merasainya.

  140. Malam berselimut embun, siang bertudung awan

    Sangat melarat dan miskin, tiada mempunyai rumah tangga.

  141. Masuk ke kandang kambing mengembek, masuk kekandang kerbau menguak

    Menyesuaikan diri dengan masyarakat di sekeliling

  142. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri

    Sesuatu nasihat atau cerita yang tidak dihiraukan sama sekali.

  143. Mata memandang apa yang hendak, sakit bahu yang memikul ditimpa perasaan

    Menyuruh orang melakukan sesuatu memang mudah, tetapi yang menanggung kesukarannya ialah orang yang mengerjakannya.

  144. Membujur lalu, melintang patah

    Sesuatu yang tak dapat dihalang-halangi.

  145. Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri

    Seseorang yang menceritakan keburukan keluarganya kepada orang lain tetapi akhirnya dia sendiri yang mendapat malu.

  146. Meninggalkan kura-kura di kaki, mengejar burung terbang

    Seseorang yang tamak; meninggalkan sesuatu yang sedia ada kerana mengejar suatu keuntungan yang belum dapat, akhirnya kedua-duanya terlepas..

  147. Nak ditelan termengkelan, nak diludah tak keluar

    Dalam keadaan yang serba salah.

  148. Nan berat tidak terpikul, nan ringan tidak terjinjing

    Sudah terlalu tua tidak terturutkan lagi ke hilir ke mudik.

  149. Niat hati nak peluk gunung, apakan daya tangan tak sampai

    Ingin akan sesuatu yang besar tetapi tidak berdaya mencapainya, kerana kekurangan alat.

  150. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa

    Setiap bantuan orang hendaklah kita kenangi.

  151. Pelanduk lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk

    Terlupa akan bahaya sedangkan bahaya itu sentiasa mengancam.

  152. Pengayuh sayang dibasahkan, sampan tidak akan sampai ke seberang

    Usaha diperlukan untuk mendapat sesuatu yang dihajati.

  153. Rambut sama hitam tetapi hati masing-masing lain

    Setiap manusia itu mempunyai pendapat yang berlainan antara satu dengan yang lain walaupun pada lahirnya ia kelihatan sama.

  154. Sayang buah kepayang, dimakan mabuk dibuang sayang

    Sesuatu keadaan yang dalam serba salah.

  155. Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan

    Anak yang dimanjakan dan isteri yang diuliti selalu itu akan menjadi sombong.

  156. Sebab mutiara sebiji, lautan dalam diselam orang

    Orang yang berilmu itu biar di mana pun ia tinggal tetap dicari orang.

  157. Seberapa panjang sarungnya begitulah panjang mata pedangnya

    Perangai yang baik atau jahat menunjukkan sedikit atau banyak ilmu seseorang.

  158. Sedepa tanduk yang datang, sejengkal tanduk yang menanti, payah juga yang datang

    Perihal kesukaran berdagang ke negeri orang (tidak seberani anak negeri sendiri).

  159. Seekor kerbau berkubang, sekandang kena luluknya

    Seorang yang bersalah, semuanya dipersalahkan.

  160. Seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit

    Kerana kejahatan yang sedikit semua kebaikan menjadi rosak.

  161. Sekepal menjadi gunung, setitik menjadi laut

    Sesuatu nasihat yang diberikan mungkin terlalu sedikit tetapi adalah amat berharga.

  162. Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya

    Sangat cekap (pantas) memahami perkataan atau perbuatan orang.

  163. Selimut kain tiga hasta, ditarik ke atas bawah terbuka, ditarik ke bawah atas pula terbuka

    Sesuatu yang tidak mencukupi untuk keperluan. Sulit untuk mengaturkanya.

  164. Sepuluh jong masuk, anjing bercawat ekor juga

    Betapa pun kemajuan perubahan yang berlaku dalam negeri, tetapi tetap seperti keadaan yang lama juga.

  165. Setinggi-tinggi terbang bangau, hinggap di belakang kerbau juga

    Kembali ke tempat asalnya.

  166. Siapa yang makan nangka dia yang terkena getahnya

    Siapa yang bersalah orang itu yang harus dihukum.

  167. Sudah mendapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi

    Apabila memperoleh barangan yang lebih baik, barang yang lama tidak diperlukan lagi.

  168. Tak ada ribut, masakan daun bergoyang

    Khabar angin yang di dengar sudah tentu sedikit sebanyak ada kebenarannya, jika tidak, takkan lah orang lain akan bercakap mengenainya.

  169. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata

    Khabar angin yang di dengar sudah tentu sedikit sebanyak ada kebenarannya, jika tidak, takkan lah orang lain akan bercakap mengenainya.

  170. Terapung sama hanyut, terendam sama basah

    Bergotong-royong, bekerjasama, bersatu padu.

  171. Terdengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan

    Kerana mengharapkan keuntungan yang besar yang belum tentu diperoleh, lalu melepaskan keuntungan kecil yang sudah berada dalam genggam.

  172. Tikus mati di lumbung padi

    Betapa kayanya sesebuah negara, baik dari sumber asli mahupun kekayaan negara tetapi rakyat sendiri tidak dapat merasai dan menikmati kekayaan itu.

  173. Usang dibarui, lapuk dikajangi

    Kebiasaan lama yang baik sudah dilupai orang dihidupkan kembali, mana-mana yang kurang baik diperbaiki.

  174. Walau disepuh emas lancung, kilat tembaga tampak juga

    Bagaimana sekalipun diajar orang, yang biadab kelihatan juga perangainya yang kurang baik.

  175. Walaupun ada umpan, belum tentu ada ikan

    Sesuatu pekerjaan itu walaupun telah ada persediaan yang cukup tetapi belum tentu akan berhasil dengan baik.

  176. Yang bergaris yang berpahat, yang bertakuk yang bertebang

    Pekerjaan yang dilakukan menurut aturannya.

  177. Yang berhutang terjerat di kaki, yang menjamin terjerat di leher

    Orang yang menjamin orang yang berhutang acap kali terpaksa membayar hutang tersebut kerana yang dijamin tidak dapat membayarnya ataupun melarikan diri.

  178. Yang bingung makanan yang cerdik, yang tidur makanan yang jaga

    Orang yang bodoh itu menjadi mangsa penipuan orang yang cerdik.

  179. Yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang

    Orang yang bertuah mendapat keuntungan dari mana-mana saja.

  180. Yang dahulu mendapat, yang kemudian ketinggalan

    Orang yang rajinlah yang selalu beruntung daripada orang yang malas.

  181. Yang dijolok tiada jatuh, penjolok pula tinggal di atas

    Yang dikehendaki tiada tercapai, sedang alat (syarat) yang digunakan untuk mencapai maksudnya itu pun hilang juga.

  182. Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran

    Keuntungan yang diharapkan tak didapati, sedangkan yang telah ada hilang pula.

  183. Yang dimakan rasa, yang dilihat rupa, yang didengar bunyi

    Melihat sesuatu menurut keadaannya yang terbukti dan boleh disaksi.

  184. Yang disuruh tenggelam, yang menyuruh pun tenggelam

    Orang lebih malas disuruh mengawasi orang yang malas, akhirnya sia-sia belaka.

  185. Yang secupak tidak akan jadi segantang

    Sesuatu sudah ditentukan, tidak boleh diubah lagi.

  186. Yang sejengkal takkan jadi sehasta, yang sehasta takkan jadi sedepa

    Sesuatu yang tidak dapat diubah lagi.

  187. Yang sejengkal tidak dapat jadi sedepa

    Sesuatu yang tidak dapat diubah lagi.

  188. Yang tegak disokong, yang lemah ditopang

    Orang kaya dimuliakan dihormati, sedangkan orang miskin dibantu dan ditolong.