PeribahasaMelayu Kuiz

Perumpamaan dengan Maksud

Peribahasa yang membuat perbandingan secara terang, mempunyai makna tersurat dan tersirat.

  1. Ada nasi di balik kerak

    Masih ada sesuatu yang belum diselesaikan atau belum diperhatikan.

  2. Air digenggam tiada tiris

    Sangat berhemat dan hati-hati dalam mengeluarkan wang.

  3. Alu pencungkil duri

    Sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan; pekerjaan yang tiada manfaatnya/sia-sia.

  4. Bagai asam dengan garam

    Sepadan benar.

  5. Bagai aur dengan tebing

    Dua orang yang bersahabat baik atau sepasang suami isteri yang kasih-mengasihi dan hidup rukun damai atau sikap tolong-menolong yang tidak dapat dipisahkan lagi.

  6. Bagai aur di atas bukit

    Orang yang menyerahkan diri pada takdir.

  7. Bagai ayam disambar helang

    Untung yang malang (seperti isteri atau tunangan dirampas orang berkuasa.

  8. Bagai Belanda meminta tanah

    Seseorang yang tamak yang tidak pernah mencukupi apabila diberikan kerana ia akan meminta lagi.

  9. Bagai beliung dengan asahan

    Tidak pernah berpisah.

  10. Bagai bersumur di tepi rawa

    Orang yang selalu cemburu.

  11. Bagai bertepuk sebelah tangan

    Cinta kasih yang tidak berbalas.

  12. Bagai bertih digoreng

    Bercakap tidak berhenti-henti.

  13. Bagai beruk kena ipuh

    Menggeliang-geliut kerana kesakitan dan sebagainya.

  14. Bagai berumah di tepi tebing

    Selalu dalam kekhuatiran.

  15. Bagai besi dengan penempa

    Orang lemah di bawah kuasa orang kuat.

  16. Bagai bulan dengan matahari

    Sepadan benar.

  17. Bagai bulan dipagar bintang

    Kecantikan seseorang perempuan yang tiada bandingannya.

  18. Bagai bulan empat belas

    Kecantikan wajah seseorang wanita yang tiada bandingannya.

  19. Bagai bulan penuh mengambang di kaki awan

    Perempuan cantik yang keluar dari rumahnya kerana hendak berjalan.

  20. Bagai bunyi cempedak jatuh

    Bunyi jatuh yang kuat.

  21. Bagai cembul dapat tutupnya

    Sesuai benar.

  22. Bagai cincin dengan permata

    Sama cantik, sama padan; cocok benar.

  23. Bagai dakwat dengan kertas

    Persahabatan yang sangat akrab

  24. Bagai dihiris dengan sembilu

    Pedih sekali rasa hatinya.

  25. Bagai duri dalam daging

    Sesuatu hal yang selalu terasa tidak menyenangkan hati.

  26. Bagai empedu lekat di hati

    Sangat rapat atau sangat akrab; merujuk kepada hubungan persahabatan atau pasangan suami isteri dan kekasih.

  27. Bagai galah di tengah arus

    Menggigil keras; selalu berkeluh-kesah.

  28. Bagai isi dengan kuku

    Sangat karib (tentang orang bersahabat atau orang berkasih-kasihan).

  29. Bagai itik pulang petang

    Berjalan lambat dan lamban.

  30. Bagai jawi terkurung siang

    Sangat gelisah kerana tidak bebas.

  31. Bagai jempuk kesiangan hari

    Kebingungan; termenung-menung.

  32. Bagai kaca terhempas ke batu

    Sangat sedih atau kecewa.

  33. Bagai kacang lupakan kulit

    Seseorang yang lupa akan asal usulnya setelah mendapat kekayaan atau kemuliaan.

  34. Bagai kambing dihalau ke air

    Seseorang yang tidak mahu mengerjakan atau melakukan sesuatu pekerjaan yang tidak disukainya atau digemarinya.

  35. Bagai kelip-kelip terbang malam

    Hendak menyembunyikan rahsia yang tidak dapat ditutup.

  36. Bagai kepiting batu

    Sangat berhati-hati/amat berkira untuk mengeluarkan wang.

  37. Bagai kucing hilang anak

    Bingung, kehilangan akal.

  38. Bagai kumbang putus tali

    Amat cepat; terlepas daripada sengsara.

  39. Bagai lalang ditiup angin

    Tidak tetap pendirian.

  40. Bagai langit dengan bumi

    Dua hal atau perkara yang sangat jauh sekali perbezaannya.

  41. Bagai lebah menghimpun madu

    Orang yang sangat rajin.

  42. Bagai lesung dengan antan

    Sangat karib (tentang orang bersahabat atau orang berkasih-kasihan).

  43. Bagai limau masam sebelah

    Hukuman atau pertimbangan yang kurang adil; berat sebelah.

  44. Bagai menantikan kucing bertanduk

    Mengharapkan sesuatu yang tak mungkin.

  45. Bagai menarik rambut di dalam tepung

    Menyelesaikan sesuatu masalah yang sulit dengan berhati-hati

  46. Bagai menatang minyak yang penuh

    Sangat dikasihi dan dipelihara dengan sempurna.

  47. Bagai mencencang air

    Seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan yang sia-sia.

  48. Bagai mencurah air di daun keladi

    Memberikan nasihat (ajaran dan sebagainya) tetapi sia-sia kerana tidak dapat meresap ke dalam hati.

  49. Bagai mendukung biawak hidup

    Menolong orang yang akhirnya menyusahkan diri kita.

  50. Bagai menelan mestika embun

    Mendengar nasihat yang baik.

  51. Bagai mengajar itik berenang

    Mengajar seseorang yang arif atau pandai daripada kita.

  52. Bagai menjaga permata intan ketika dicanai

    Kasih sayang yang tidak tertanding

  53. Bagai minyak dengan air

    Orang yang bermusuhan atau yang tidak sehaluan mustahil dapat dicampurkan jadi satu.

  54. Bagai murai dicabut ekor

    Perempuan yang suka bercakap banyak.

  55. Bagai nakhoda kasap: hujung hilang, pangkal lesap

    Mengeluarkan belanja dengan tidak tentu dalam sesuatu pekerjaan.

  56. Bagai pahat dengan penukul

    Bekerja hanya kalau diperintah.

  57. Bagai pahat, tidak ditukul tidak makan

    Bekerja hanya kalau diperintah.

  58. Bagai panas mengandung hujan

    Tertawa dalam kesusahan.

  59. Bagai pancang digoncang arus

    Pendirian yang berubah-ubah dan tidak tetap.

  60. Bagai perahu karam sebelah

    Hukuman atau pertimbangan yang kurang adil; berat sebelah.

  61. Bagai pinang dibelah dua

    Sama cantik dan sama sepadan.

  62. Bagai pungguk rindukan bulan

    Lelaki yang merindui gadis yang dikasihinya, tetapi gadis itu tidak mungkin dapat dimilikinya.

  63. Bagai puyu di air jernih

    Senang hidupnya.

  64. Bagai rambut dibelah tujuh

    Sedikit sekali.

  65. Bagai si kudung mendapat cincin

    Orang yang tidak dapat merasai nikmat atau menggunakan kemudahan yang diperoleh.

  66. Bagai sotong dengan garam

    Seseorang yang sangat mudah terpengaruh atau mudah dikendalikan.

  67. Bagai sotong kena air

    Menggambarkan seseorang yang menjadi aktif dan lincah bila berada di dalam situasi atau keadaan yang sesuai.

  68. Bagai tikus membaiki labu

    Hendak membetulkan barang yang tiada diketahui.

  69. Bagai wau putus teraju

    Tinggal berserah kepada nasib saja, daya upaya sudah tiada lagi.

  70. Bak mentimun bengkok

    Tidak dianggap penting dan diketepikan orang.

  71. Belut pulang ke lumpur

    Perantau yang pulang semula ke tempat asal.

  72. Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi

    Pelajaran yang tiada sempurna dituntut, tiadalah akan mendatangkan faedah.

  73. Berkerbau seperempat ekor, berkandang sebagai orang

    Orang miskin yang berkelakuan seperti orang kaya.

  74. Cerdik bagai ekor kerbau

    Melakukan sesuatu pekerjaan yang merugikan diri sendiri.

  75. Darah setampuk pinang

    Belum berpengalaman.

  76. Di luar bagai madu, di dalam bagai empedu

    Lahirnya baik, batinnya jahat.

  77. Dianjung seperti payung, diambak seperti kasur

    Orang yang sangat dimuliakan.

  78. Dikembar seperti benang

    Perempuan yang menduakan suaminya.

  79. Embun di hujung rumput

    Keadaan yang tidak tetap dan tidak kekal lama.

  80. Hujan jatuh ke pasir

    Berbuat baik tidak pada tempatnya.

  81. Ibarat ayam, tiada mengais tiada makan

    Sangat miskin.

  82. Ibarat beban sudah ke tepi

    Suatu pekerjaan yang sudah hampir selesai, atau rundingan yang hampir mencapai kata sepakat.

  83. Ibarat bunga, sedap dipakai layu dibuang

    Perempuan yang dikasihi sementara muda, tetapi setelah tua lalu diceraikan.

  84. Ibarat melukut di tepi gantang

    Seseorang yang dipandang tidak berguna oleh orang lain

  85. Ibarat telur di hujung tanduk

    Keadaan yang sangat genting, hanya menunggu masa untuk musnah.

  86. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua

    Kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya

  87. Jauhari juga yang mengenal manikam

    Hanya orang yang bijak sahaja yang dapat menilai sesuatu benda atau perkara

  88. Katak di bawah tempurung

    Orang yang sangat cetek pengetahuannya mengenai dunia luar.

  89. Katak ditimpa kemarau

    Berkeluh kesah dengan tidak keruan.

  90. Kera dapat bunga

    Mendapat sesuatu yang tak dapat dipergunakan; tidak menghargai pemberian orang lain.

  91. Keras bagai batu, tinggi bagai langit

    Tiada mahu menurut perintah; keras kepala.

  92. Laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak

    Orang yang elok dan tampan tetapi tidak berbudi bahasa.

  93. Laksana pohon kayu tiada berbuah

    Ilmu yang tiada diamalkan.

  94. Lembik bagai sotong

    Menggambarkan seseorang yang lemah semangat atau tidak berdaya.

  95. Macam belangkas

    Dua orang yang terlalu rapat perhubungannya dan tidak boleh dipisahkan.

  96. Macam betung seruas

    Terlalu jujur; lurus hati

  97. Macam kikir besi

    Orang kaya yang kedekut

  98. Mahal tak dapat dibeli, murah tak dapat diminta

    Sesuatu yang amat susah diperoleh.

  99. Melepaskan anjing tersepit, sesudah lepas ia menggigit

    Seseorang yang tidak mengenang budi atau kebaikan yang diberi dibalas dengan keburukan.

  100. Retak menanti belah

    Perkara kecil yang akan menjadi besar tinggal menanti petaka yang lebih besar lagi.

  101. Salai tidak berapi

    Perempuan hamil yang ditinggalkan suaminya.

  102. Selama enggang mengeram

    Lama benar.

  103. Seludang menolak mayang

    Telah kelihatan isi hatinya.

  104. Seperti abu di atas tunggul, datang angin terbanglah dia

    Status yang tidak tetap atau sesuatu kedudukan yang tidak pasti atau tidak stabil.

  105. Seperti anai-anai makan kayu

    Mengerjakan sesuatu perkara dengan begitu tekun sekali.

  106. Seperti anak ayam kehilangan ibu

    Sekumpulan orang yang kehilangan arah atau berpecah-belah akibat kehilangan seorang pemimpin atau tempat tumpuan dan pengharapan.

  107. Seperti anjing bertemu pasir

    Orang yang telah menjumpai barang kesukaanya.

  108. Seperti anjing dengan kucing

    Orang yang selalu bertengkar.

  109. Seperti antan pencungkil duri

    Sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan; pekerjaan yang tiada manfaatnya/sia-sia.

  110. Seperti api dalam sekam

    Sesuatu kejahatan yang tidak diketahui kerana ia telah dirahsiakan.

  111. Seperti api dengan asap

    Pertalian yang tidak dapat diputuskan.

  112. Seperti ayam berak kapur

    Muka pucat dan tidak bermaya.

  113. Seperti bangsi buluh perindu

    Suara yang merdu dan lemah lembut.

  114. Seperti benang putih

    Orang yang menurut tanpa membantah.

  115. Seperti bunga dengan perdunya

    Pasangan suami isteri yang secocok, sama cantik, sepadan.

  116. Seperti cacing kepanasan

    Seseorang yang selalu berada dalam keadaan gelisah.

  117. Seperti cincin terlekat dijari

    Padanan yang sesuai.

  118. Seperti emas baru disepuh

    Kecantikan rupa paras seorang wanita.

  119. Seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing

    Mementingkan diri sendiri, tidak bersepakat.

  120. Seperti garam jatuh di air

    Cepat meresap atau segera dimengerti nasihat atau pelajaran.

  121. Seperti gergaji dua mata

    Seseorang yang mengambil kesempatan daripada pertelingkahan dua pihak; tidak jujur.

  122. Seperti harimau menyorokkan kuku

    Orang yang menyembunyikan kelebihannya.

  123. Seperti hendak meluruskan ekor beruk

    Sangat sukar menasihati orang yang degil.

  124. Seperti ikan kena tuba

    Orang yang tidak berdaya lagi.

  125. Seperti kera kena belacan

    Seseorang yang selalu gelisah atau kelihatan tidak tenteram kerana sesuatu sebab.

  126. Seperti kera sumbang

    Orang yang takut mencampuri orang ramai; suka bersendiri.

  127. Seperti kerbau dicucuk hidung

    Seseorang yang bodoh dan selalu menurut apa yang dikatakan orang.

  128. Seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus

    Seseorang yang memberi nasihat yang baik-baik kepada orang lain tetapi dia sendiri tidak dapat melaksanakannya.

  129. Seperti kucing biang

    Perasaan resah gelisah tanpa sebab.

  130. Seperti kucing dapat tikus

    Orang yang tidak tahu duduk diam.

  131. Seperti lembu dicucuk hidung

    Orang yang selalu hanya menurut kemahuan orang.

  132. Seperti lintah menghisap darah

    Mengenakan bunga yang terlalu mahal pada wang hutang.

  133. Seperti lipas kudung

    Bergerak dalam keadaan pantas atau, sibuk bekerja.

  134. Seperti mati hidup semula

    Selamat daripada bahaya besar.

  135. Seperti musang berbulu ayam

    Seseorang yang berpura-pura berbuat baik untuk menyembunyikan kesalahannya.

  136. Seperti rusa masuk kampung

    Berasa hairan dan tercengang-cengang apabila berada di tempat baru.

  137. Seperti talam dua muka

    Tidak jujur.

  138. Seperti tikus jatuh ke beras

    Orang yang terlalu gembira.

  139. Seperti ular kena palu

    Jalan atau barisan yang bengkang-bengkok.

  140. Setumbuk bagai gelang, sejodoh bagai cincin

    Cocok segala-galanya; jodoh yang sesuai benar.

  141. Tanduk bersendi gading

    Hal keadaan yang tidak sepadan.

  142. Ulat lupakan daun

    Lupa akan budi baik orang.

  143. Umpama ayakan dawai

    Membuat sesuatu dengan tidak cermat.

  144. Umpama Belanda kesiangan

    Orang yang bertingkah laku seperti orang putih.

  145. Umpama biawak bercabang lidah

    Tidak dapat dipercayai barang katanya.

  146. Umpama buah kepayang, dimakan mabuk di buang sayang

    Sesuatu yang amat disayangi tetapi merosakkan.

  147. Umpama burung tumpang beramai dengan kawan yang banyak

    Orang dagang yang mencari hiburan dan kawan di negeri asing.

  148. Umpama gula di dalam mulut

    Pekerjaan yang mudah dilakukan (sesuatu yang sudah dikuasai).

  149. Umpama jari di tangan, ada bercincin ada tidak

    Layanan yang kurang adil.

  150. Umpama kayu buruk, buruk di panas, reput di hujan

    Nasib malang yang tidak dapat dielakkan lagi.

  151. Umpama kayu lempung, belum ditolak condong sendiri

    Orang yang bodoh dan penakut mudah menurut kehendak orang lain.

  152. Umpama kiambang di air, akar tidak jejak di bumi

    Tidak tetap pada suatu tempat; tidak tetap pendirian.

  153. Umpama lebah membuang sengat

    Orang yang meninggalkan sikap suka mengata dan mengeji orang.

  154. Umpama memerah nyiur, santan diambil hampas dibuang

    Apabila mendengar nasihat, pilihlah yang baik dan buangkan yang buruk.

  155. Umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul jua

    Orang yang baik biar di mana-mana sekalipun akan dimuliakan jua.

  156. Umpama pucuk dan umbut, tiada lauk baru dibaham

    Kalau tiada yang baik, barulah dipakai yang kurang baik.

  157. Umpama semut mempersembahkan paha belalang kepada raja

    Pemberian yang tiada ertinya atau amat sedikit.

  158. Umpama sirih, menjalar dulu kemudian melilit, barulah memanjat ke pucuk junjung

    Tiap-tiap pekerjaan hendaklah dilaksanakan mengikut aturannya.

  159. Untung bagai untung kapas

    Orang yang banyak tanggungannya.

  160. Wayang kepadaman damar

    Keadaan kacau yang terjadi dengan tiba-tiba.