PeribahasaMelayu Kuiz

Peribahasa Tentang Gajah

Terdapat 12 peribahasa yang menyebut perkataan gajah.

  1. Bangkai gajah ditutup nyiru

    Kejahatan atau rahsia yang besar tidak dapat disembunyikan.

  2. Gajah bergajah-gajah, pelanduk mati tersepit Pepatah

    Kalau raja-raja berselisih, rakyat mendapat susah.

  3. Gajah berjuang sama gajah, palanduk mati di tengah-tengah Pepatah

    Sekiranya orang-orang besar berselisih atau bergaduh, orang-orang di bawahnya yang akan mendapat kesusahan

  4. Gajah masuk kampung, kalau kayu tak tumbang, rumput layu juga Pepatah

    Orang yang berkuasa dapat berbuat sekehendak hatinya dalam lingkungan orang lemah (orang kecil).

  5. Gajah mati kerana gadingnya

    Mendapat kecelakaan kerana kelebihannya.

  6. Gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama Pepatah

    Orang baik meninggalkan nama baik, orang jahat meninggalkan nama jahat.

  7. Gajah mati tulang setimbun

    Orang kaya yang mati banyak meninggalkan hartanya.

  8. Gajah rompong belalai

    Raja yang tidak berkuasa atau hilang kuasa.

  9. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati tersepit di tengah Pepatah

    Orang kecil yang mencampuri pergaduhan antara orang besar-besar akhirnya ia sendiri yang binasa.

  10. Gajah seekor, gembala dua

    Sesuatu pekerjaan atau urusan yang melibatkan perkara besar, dikemudi atau dibimbing oleh dua orang ketua.

  11. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah Pepatah

    Pembahagian yang sama rata; banyak sama-sama banyak, sedikit sama-sama sedikit.

  12. Kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tak nampak Pepatah

    Kesalahan orang lain, biar pun kecil, tampak; tetapi kesalahan sendiri tidak disedari.