PeribahasaMelayu Kuiz

Peribahasa Tentang Hujan

Terdapat 21 peribahasa yang menyebut perkataan hujan.

  1. Ada hujan ada panas, ada hari boleh balas Bidalan

    Perbuatan jahat itu sewaktu-waktu akan mendapat balasan juga.

  2. Bagai panas mengandung hujan Perumpamaan

    Tertawa dalam kesusahan.

  3. Bak cendawan tumbuh selepas hujan

    Terlalu banyak pada sesuatu masa.

  4. Bumi mana yang tak kena hujan

    Setiap manusia di muka bumi ini pasti tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan ataupun kesusahan.

  5. Dihujani kering, dijemur basah

    Berbuat sesuatu pekerjaan yang menyusahkan orang lain.

  6. Disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan tengah hari Pepatah

    Disangka akan baik atau mulia selama-lamanya, tetapi tiba-tiba ditimpa bahaya, sehingga jatuh melarat.

  7. Hilang kabus, teduh hujan

    Telah mendapat kesenangan sesudah menderita kesusahan.

  8. Hilang kemarau setahun oleh hujan sehari

    Kebaikan hilang kerana kejahatan sedikit.

  9. Hinggap bak langau, titik bak hujan

    Hal yang terjadi dengan tiba-tiba (kemalangan dan sebagainya).

  10. Hujan berpohon, panas berasal

    Segala sesuatu tentu ada sebab-musababnya.

  11. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri Bidalan

    Walau bagaimanapun mewah dan makmurnya negeri orang, namun negeri sendiri juga yang lebih baik.

  12. Hujan jatuh ke pasir Perumpamaan

    Berbuat baik tidak pada tempatnya.

  13. Hujan panas permainan hari, senang susah permainan hidup Pepatah

    Dalam hidup manusia ada kalanya senang dan ada kalanya susah.

  14. Hujan, tempat berteduh; panas, tempat berlindung Pepatah

    Orang yang selalu memberi pertolongan kepada orang-orang yang mendapat kesusahan.

  15. Kilat di dalam kilau, kabus di dalam hujan

    Dalam tutur kata atau tingkah laku tercantum maksud yang lain.

  16. Laut mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan Pepatah

    Segala usaha tetap ada kesukaran atau bahayanya.

  17. Sedangkan tak hujan becak, inikan pula hujan

    Sedangkan tidak melakukan kejahatan telah dituduh, apatah pula kalau benar-benar melakukannya.

  18. Sediakan payung sebelum hujan Bidalan

    Seseorang itu hendaklah sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia sebelum terjadi apa-apa.

  19. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas

    Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh dan kekal tidak berubah-ubah walaupun zaman berubah.

  20. Umpama kayu buruk, buruk di panas, reput di hujan Perumpamaan

    Nasib malang yang tidak dapat dielakkan lagi.

  21. Unyai bak hujan pagi

    Mesyuarat atau percakapan yang tidak penting tetapi berpanjang-panjangan; pekerjaan yang dibuat lambat-lambat atau terhenti-henti padahal boleh dibuat lekas.