PeribahasaMelayu Kuiz

Peribahasa Tentang Laut

Terdapat 25 peribahasa yang menyebut perkataan laut.

  1. Air setitik dilautkan, tanah seketul digunungkan Pepatah

    Membesar-besarkan perkara yang kecil.

  2. Air tawar secawan dituangkan ke dalam laut, takkan dapat menghilangkan masinnya Pepatah

    Pertolongan yang sedikit tidak dapat meringankan beban kesengsaraan yang besar.

  3. Asam di darat ikan di laut, bertemu dalam belanga juga Pepatah

    Perempuan dan lelaki, kalau sudah jodoh, bertemu juga akhirnya.

  4. Berketak ayam di darat, bersenyap-senyap mutiara di laut Pepatah

    Orang bodoh suka menunjukkan kerja yang dibuatnya, tetapi orang yang bijaksana membuat kerja hanya dengan diam-diam saja.

  5. Dalam laut boleh diduga, dalam hati siapa tahu Pepatah

    Pengetahuan (fikiran) seseorang itu tidak dapat diduga.

  6. Garam di laut, asam di gunung, dalam kuali bertemu juga Pepatah

    Perempuan dan lelaki, kalau sudah jodoh, bertemu juga akhirnya.

  7. Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau Bidalan

    Yang baik itu biar di mana pun tempatnya akan tetap baik juga.

  8. Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga Bidalan

    Jika pengetahuan hanya sedikit saja, janganlah hendak melawan orang-orang yang lebih banyak pengetahuannya.

  9. Karam di laut boleh ditimba, karam di hati bilakan sudah Pepatah

    Kesedihan kerana kematian kekasih.

  10. Ke bukit sama didaki, ke laut sama direnangi; adat tiada bertukar, rahsia tidak berubah Pepatah

    Perhubungan yang sangat karib, tidak dapat diceraikan.

  11. Kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tak nampak Pepatah

    Kesalahan orang lain, biar pun kecil, tampak; tetapi kesalahan sendiri tidak disedari.

  12. Laut budi tepian akal

    Orang cerdik pandai atau cendekiawan.

  13. Laut ditimba tak akan kering Bidalan

    Kepandaian sesorang itu tidak akan habis selagi hayat dikandung badan.

  14. Laut mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan Pepatah

    Segala usaha tetap ada kesukaran atau bahayanya.

  15. Laut rembang Simpulan Bahasa

    Tengah laut

  16. Lubuk akal lautan ilmu

    Sangat luas dan banyak pengetahuan.

  17. Memberi garam kepada laut Bidalan

    Menolong orang yang tidak perlu ditolong; atau berbudi kepada orang kaya.

  18. Membuang garam ke laut Bidalan

    Menolong orang yang tidak perlu ditolong; atau berbudi kepada orang kaya.

  19. Orang karam di laut, aku karam di darat

    Mendapat kecelakaan di tempat yang tidak sepatutnya.

  20. Sebab mutiara sebiji, lautan dalam diselam orang Pepatah

    Orang yang berilmu itu biar di mana pun ia tinggal tetap dicari orang.

  21. Sekepal menjadi gunung, setitik menjadi laut Pepatah

    Sesuatu nasihat yang diberikan mungkin terlalu sedikit tetapi adalah amat berharga.

  22. Umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul jua Perumpamaan

    Orang yang baik biar di mana-mana sekalipun akan dimuliakan jua.

  23. Walau ikan yang diam di dalam tujuh lautan sekalipun, termasuk ke dalam pukat juga

    Sepandai-pandai atau sekuat-kuat manusia adakalanya silap juga.

  24. Walaupun diam dalam lautan garam sekalipun ikan tetap tidak akan masin

    Orang yang ada waja diri, tidak dapat dipengaruhi oleh persekitaran.

  25. Yang setitik dilautkan, yang sekepal digunungkan

    Harta yang sedikit dikembangkan menjadi bertambah banyak.